Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

TAKDIR DAN CERITANYA – PART 2

0 comments

Jika ditanya apa perasaan saya kerana mempunyai anak yang cacat dan kurang sempurna akalnya? Terus-terang saya masih sukar menerima kenyataan yang anak saya tidak sempurna dari segi akalnya. Tapi itulah, inilah kehidupan..ada suka, ada dukanya. Kena terimalah, kerana ini yang tertulis untuk kita. Hidup perlu kita teruskan…

Semalam, 11hb september anak saya, Adam menyambut hari lahirnya yang ke-13. Dia gembira dalam dunia yang hanya dia yang tahu. Walaupun anak saya itu suci tanpa dosa, saya masih merasa sangat berdosa dan bersalah kerana melahirkannya ke dunia ini dengan cerita dan skrip takdir yang kurang menarik. Saya cuma mampu memujuk hati yang rawan dari masa ke semasa.

Menjenguk ke belakang, Adam dilahirkan dalam keadaan yang payah. Lahirnya sebagai bayi yang pramatang. Di usianya 3 tahun baru saya dan orang rumah dapat mengesan penyakitnya. Terduduk lesu saya bila mendapat tahu tentang penyakitnya( Autism). Sayapun bukan faham apa itu Autism, jadi dari situ kita cuba belajar untuk memahami dalam menerima takdir dan kenyataan. Apa yang boleh kita berikan hanyalah kasih-sayang yang tidak berbelah bahagi terhadapnya. Siapa kita untuk mengubah takdir Tuhan?

Terlalu banyak yang saya fikirkan tentang anak saya itu. Masa depannya, misteri kewujudannya, ketawanya, tangisannya, segala-galanya. Semuanya tidak ada jawapan, cuma untuk sedapkan hati, ya..biarlah takdir yang menentukan. Ini bahagian saya, saya terima seadanya.

Adam masih bersekolah khas di sekolah biasa. Di Malaysia ni ada NASUM, pusat komuniti yang khusus untuk golongan Autisma, malangnya kalau nak ke situ, kosnya agak tinggi dan hanya golongan yang mampulah yang boleh menghantar anak mereka ke situ. Untuk golongan biasa macam kita ni, tak banyak kemudahan sangat kerana segalanya memerlukan duit dan perbelanjaan yang besar. Inilah istimewanya negara kita, yang kaya makin kaya, yang miskin terus menjadi mangsa golongan kapitalis yang kerja mereka menindas dan lebih mementingkan kasta dari menilai manusia dari segi kemanusiaannya.

Kita sedihpun bukannya boleh mengubah keadaan, kita komplenpun bukannya anak saya itu akan kembali normal, cuma inilah cerita dan bahagian untuk saya sekeluarga, dan kami sedang memamahinya bersama-sama. Masalah ada, kita hadapi kenyataan, itu saja.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.