Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

TENTANG CERITA DAN TAKDIR KITA YANG SETERUSNYA…

0 comments

Saya melihat anak-anak saya yang dua orang ini, Aqeef( 11 tahun ) dan Gibran ( 8 tahun ),hidup mereka sangat mudah, tidak banyak perkara yang perlu mereka fikirkan. Apabila mengantuk mereka pun terlena. Esoknya mereka akan bangun dari tidur seperti biasa.

Berbanding kita yang sudah semakin berusia ini. Cuma anak saya yang sulung, umurnya 17 tahun agak susah tidur. Dia mula memikirkan tentang banyak perkara yang akan dilalui dalam hidupnya masa kini dan mendatang.

Mungkin memikirkan tentang apa akan jadi di masa depannya, apa dia akan jadi beberapa tahun akan datang. Mungkin dia risau untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan dihadapinya. Dia mula berfikir tentang banyak perkara dalam hidupnya. Hidup ini tidaklah semudah yang kita rencanakan sebenarnya.

Saya lebih suka jika anak saya itu lebih relaks dan tenang dalam menghadapi hidup dan masa depannya kerana jika kita percaya kepada takdir dan ceritanya, kita akan menjadi lebih tenang dan jika kita percaya bahawa Kepada Allah lah tempat kita untuk berserah, kita akan lebih tenang dalam menghadapi hari-hari muka. Saya suka jika anak-anak saya kekal dengan kefahaman dan didikan ugama yang dididik ibu mereka.

Saya akui saya agak pincang dalam bab mendidik anak-anak. Segala-galanya saya serahkan atas kebijaksanaan isteri saya dalam melaksanakan.

Saya suka jika anak-anak saya duduk dalam asas kepercayaan yang umum faham dan selesa apa itu ugama dan apa itu Tuhan sebagaimana yang syariaat kita telah tetapkan. Itu penting untuk pembentukan akal dan fikiran mereka.

Kalau anak saya nombor 2, Adam ( 15 tahun ) pun agak susah juga mahu tidur. Yang itu saya serahkan kepada Tuhan dan takdirnya, kerana saya tidak mampu menjenguk atau mengagak emosi dalamannya.Kadang-kadang dia bercakap seorang diri seakan ada kawan bercakapnya.

Sikap Adam memang suspen juga kadang-kadang. Kalau tiba-tiba dia menunjuk ke arah luar tingkap dan menyebut ‘hantu’, kita akan suspen juga sebenarnya. Sebab dia mungkin nampak benda yang kita tidak nampak.

Tapi saya selalu tidak mahu fikir akan hal-hal yang selain dari yang nyata. Saya kalau boleh mahu kita kekal fokus tentang diri dan ketenangan. Jiwa perlu tenang untuk diam dalam kebahagiaan.

Sewaktu kecil dulu saya tidak pernah bayangkan apa saya akan jadi 20 tahun akan datang. Otak kiri saya yang banyak berfungsi berbanding otak kanan sebenarnya.

Dulu saya selalu fikir kita akan dengan mudah menyelesaikan masalah kehidupan ini sepertimana yang adik-beradik saya lalui. Kebetulan saya yang paling bongsu. Kakak-kakak dan abang-abang saya semuanya mempunyai kehidupan dan keselesaan hidup dalam konteks asas untuk sebuah kehidupan. Contohnya punya rumah sendiri, kereta sendiri, makan pakai semuanya cukup malah dikurniakan rezeki yang berlebihan.

Untuk saya mungkin tidak selancar perjalanan mereka. Pun inilah takdir cerita untuk saya hadap. Saya akui terlalu banyak proses yang terpaksa kita hadapi jika memilih haluan dan jalan sendiri, apatah lagi jika sudah berkeluarga.

Tapi inilah kehidupan dan selagi masih ada nilai kita dalam mentafsir makna bahagia, kita tidak akan berpatah ke belakang. Saya percaya takdir hidup kita ini sepenuhnya dalam perencanaan dari Dia yang maha tahu..Wallahualam…

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.