Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

TENTANG DUNIA, KEBENCIAN DAN KASIH SAYANG

0 comments

Seorang kawan sering bercerita kepada saya tentang abangnya yang segala-segala tentang abangnya itu adalah hampas dan neraka belaka, tidak ada sedikit pun nilai syurga baginya. Abangnya kaki mabuk, gagal dalam perkahwinan, tidak punya visi dan masa depan. Segalanya tentang abangnya adalah subjek yang gagal belaka.

Yang saya perhatikan sering kali dia bercerita tentang abangnya yang dibenci itu, seolah dia mahu dunia tahu yang dia memang benar-benar benci akan abangnya yang gagal itu. Sehingga jika bertembung dia akan menganggap abangnya itu orang asing.

Dan dia sudah terbiasa pada setiap pertemuan dengan ahli keluarganya jika ada upacara atau majlis berlangsung, mereka akan menasihatinya agar memaafkan abangnya yang gagal itu. Dan seperti biasa juga kawan saya ini akan membalasnya dengan jawapan yang sinis dan sarkastik sekali.

Baru-baru ini kita bertukar-tukar pendapat tentang subjek kebencian dan kasih-sayang. Bagi saya benci itu termasuk dalam folder dan acuan kasih sayang juga. Walaupun benci dan meluat, jika kita masih mengingati walau dalam nilai kebencian yang amat sangat sekalipun, maknanya yang kita benci itu masih juga dalam ingatan.

Mengapa kawan saya itu sering menceritakan kepada saya tentang abangnya yang gagal itu? ini kerana dia masih mengingati abangnya itu, perasaan marah dan dendam akan kisah masa lalu mereka menjadikan skrip takdir tidak begitu menarik.

Semua ahli keluarganya menasihati agar apa salahnya dia maafkan kegagalan abangnya dan menerima keadaannya seadanya.

Dia agak tersentak dengan pandangan saya tentang kasih-sayang dan kebencian. Lama dia termenung sehingga sebak dan akhirnya dia mengakui yang pendapat saya itu ada benarnya.

Saya tidak memerlukan jawapan, yang saya harapkan jika pendapat saya itu boleh membuatkan dia berfikir dan merenung, itu sudah memadai.

Apa yang dimahunya cuma abangnya akan berubah menjadi manusia yang punya tanggungjawab, sekurang-kurangnya pada diri sendiri. Dan jika itu yang berlaku, apakah itu akan membuatkan kasih sayang mereka sebagai adik beradik akan kembali bertaut ? Mungkin ya dan mungkin juga tidak.

Apabila segalanya berubah dan kita sudah menemukan jalan bahagia masing-masing, menerima dan memahami itu sudah memadai kerana segala yang berlaku itu ada hikmah dan ceritanya.

Mana mungkin kita mampu mengubah dunia yang penuh dengan cerita yang berwarna-warni ini ? Cerita dunia berjalan mengikut kehendak skrip. Dunia tidak pernah punya cita-cita dan impian melainkan kita, penghuninya.

Dunia menerima siapa kita seadanya, walau dia tidak pernah peduli siapapun kita. Ianya umpama pentas untuk kita melakonkan watak-watak kita di dunia ini. Dan dunia ini memang tidak akan adil pada penghuninya kerana ia tak punya perasaan.

Yang punya masalah yang melibatkan hal tentang dunia dan permainannya adalah kita. Kita dikurniakan perasaan, segala jenis perasaan samada melibatkan suka atau mahupun duka.

Cuma untuk hidup di dunia ini dan merasa nikmat tenang jiwa, kita perlu melupakan apa saja cerita tentang semalam kerana itu hanyalah ilusi semata. Kita tidak perlu terperangkap dengan khayalan dunia dan merasakan semalam adalah milik kita. Kita tidak pernah memiliki apa pun!

Adakah dunia ini bersimpati dengan nasib penghuninya? Tidak sama sekali! Tsunami, Taufan Haiyan yang melanda Filipina baru-baru ini, juga terbaru banjir besar di Kuantan, inilah kenyataan dan inilah cerita-cerita sedih yang perlu kita hadap dan untuk kita mengakui, dunia ini sudah tua dan semakin reput.

Dunia juga umpama batang tubuh kita. Sampai masa kita juga akan reput, cuma khayalan dan ilusi tentang dunia dan mimpinya ini yang masih melekakan kita sehingga menjadikan kita manusia yang penuh dengan nilai-nilai benci antara sesama kita.

Walaupun kita yang berugama ini kalau boleh tidak menggalakkan para umat agar menjadi para sufi sejati, ascetic mahupun golongan sadhu yang sanggup melupakan cerita-cerita indah dunia melainkan misi mereka adalah menyambut kedatangan ‘mati’ dengan lapang hati, nyata kita lah yang masih bergelut dan sedang berkeluh-kesah sambil sibuk menghitung segala amal untuk mendapatkan pahala dan dosa sebanyak yang mungkin.

Sedih sebenarnya cerita kita ini. Dunia menjadikan kita hidup dalam angan-angan yang tak berkesudahan. Tahap kefahaman kita dalam mengenal masih di peringkat asas dan kita masih mengulang dan mengingatkan perkara lama yang sama yang jelas sudah ada di ingatan.

Sedangkan apabila ingatan kita yang juga milikNya ini semakin lemah apabila sampai waktunya, kita pun secara fitrahnya gagal untuk mengingati segala apa yang telah kita lakukan di dunia ini.

Dalam artikel saya yang lepas, ada saya bercerita tentang ‘loser’ yang katanya gagal dalam hidupnya. Akhirnya saya menegur atau menasihatinya dengan ayat-ayat yang berbentuk ‘provok’. Akhirnya dia mengakui yang apa yang saya katakan adalah benar dan dia mengakuinya.

Kesannya sejak hari itu, ‘loser’ itu sudah tidak kelihatan lagi sehinggalah saat saya menulis ini. Saya selalu mengharapkan dia mampu berubah, dan jika itu yang mampu dilakukannya, saya bersyukur.

Tidak mengapa jika pada suatu ketika dia akan lalu di hadapan saya dengan gaya seorang lelaki yang punya misi dan arah hidup, tanpa menoleh kepada saya sekalipun, saya akan menghormati dan salut akan perubahan yang telah dilakukannya.

Saya rasa kita ini masih punya cerita dan tanggungjawab, walau siapa dan apapun watak kita di dunia ini. Mungkin cara berbeza, tapi tujuannya tetap sama.

Mudah-mudahan…

**KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.