Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

TERIMAKASIH JIWA

0 comments

Sepanjang hidup bergelar manusia, saya telah melalui banyak perkara yang kita namakan hal-hal duniawi. Suka-duka, pahit manis sudah saya lalui. Apabila dirumuskan semuanya, bolehlah saya katakan inilah keindahan yang paling nyata atas segala apa yang sudah saya lalu dan rasai. Terhukum malah menghukum juga ada masanya, menghina malah dihina juga ada masanya. Inilah kebahagiaan apabila dosa dan pahala itu bercampur, kita gaulkan menjadi cerita yang menarik untuk kita baca.

Hasilnya saya secara perlahan-lahan dapat menerima segala isi cerita yang telah diperuntukkan untuk siri-siri takdir saya. Kita di hormati ada masanya, kita juga di hina ada masanya. Kita menerima cerita kita seadanya.

Kita bagi saya bagus jika dapat menerima cerita alam ini seadanya. Kita lihat bulan, kita sedang berguru dengannya. Kita bermain-main dengan anak-anak, pun kita sedang belajar dari mereka sebenarnya. Kita berjalan atau memandu, kesesakan mengganggu tahap emosi kita semaksimumnya, pun tanpa kita sedari itu hanyalah matapelajaran dan kita sedang belajar. Kita berkawan, dianiaya malah kita juga menganiaya juga ada masanya, pun itu hanyalah matapelajaran untuk kita belajar sesuatu.

Selepas kita memaki, sepatutnya kita akan letih dan berehatlah kendurkan emosi kita dan kita pun tahu ianya hanyalah secebis ujian dan kita telah gagal mengawalnya. Bermuhasabahlah kita, serahkan kepadaNya dan katakan ,”inilah aku seadanya’.

Apabila kita dimaki, pun kita anggap ianya hanya gurauan takdir yang memang suka mengusik agar kita melenting dan turut sama dalam permainan emosi agar ianya berpanjangan dan akhirnya meletup. Pun bagi saya anggaplah takdir ini akan datang dalam bermacam bentuk dan gaya, kitalah pelengkap ceritanya. Kita boleh memilih untuk sama memaki atau kita padamkan dengan kata-kata yang lembut dan berhemah.

Pun apabila malam tiba, tibalah saatnya untuk kita beradu. Katakanlah kepada jiwa, walau kemanapun aku pergi, ke kiri mahupun ke kanan, kamu tetap setia, menerima aku seadanya. Terimakasih..

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.