Notes:
Terkenang-kenang
Dahulu sewaktu kecil saya tinggal di berek polis. Arwah bapak saya polis. Tahun 1973 saya suka sangat menonton cerita kartun’Giant Robot’. Suka sangat sampai saya bayangkan Giant Robot itu sehebat Tuhan. Waktu itu umur baru 5 tahun, apa yang kita faham sangat pun. Ha ha ha.
Minggu lepas saya bawak anak-anak menonton wayang Transformers 3. Anak saya yang kecil Gibran dan abangnya Aqeef ternganga mulutnya dari awal sampai habis cerita. sayapun turut kagum dengan kemajuan teknologi manusia hari ini. Yang bab hero dan heroin tu saya tak suka sangat, dah la berlakon macam batang kayu. Apa yang mereka nak tonjolkan saya pun tak tahulah. Anak-anak saya datang nak tengok robot je. Ha ha ha
Betapa berbezanya antara waktu dulu dan sekarang. Dulu TV hitam putih 14 inci. Saya ingat lagi tahun 1973, P.Ramlee meninggal dunia.
Tak beberapa lama kemudian keluarga saya pindah ke kawasan yang agak pedalaman, kampung kilang nama tempatnya, langsung tak ada TV. Nak mandi perlu ke telaga atau mandi sungai. Letrik pun tak ada. Cuma pakai lampu minyak tanah dan lampu gasolin sajalah.
Apa yang menariknya, saya berbangga kerana pernah melalui musim itu. Musim yang serba kekurangan dari segi kemudahan mahupun kewangan. Itu saya salut mak saya, dia memang tabah dan cekal. Saya ingat lagi mak saya sangat suka bercerita dengan saya dan salah seorang abang saya, Salehuddin. Jarak umur abang saya dengan saya 3 tahun. Kami memang rapat sewaktu kecil. Maklumlah semua adik beradik sudah berhijrah ke kota mencari ilmu dan bekerja. Saya perhatikan anak saya si Gibran dan Aqeef mereka memang sangat rapat. Saya berdoa semoga keakraban mereka akan kekal sampai mereka dewasa dan beranak pinak. Jangan jadi seperti saya. Bila besar terpaksa bawa haluan sendiri dalam hidup, ye lah kita ini kurang pencapaian dari segi harta-benda, siapa yang suka? Tak apalah, saya terima semua cerita suka duka sebagai asam-garam dalam kehidupan.
Cerita-cerita mak saya ni caranya penglipur laralah. Antara ceritanya yang menarik Si Tenggang, Batu belah dan Ganggo Mino. Memang melekat di otak saya. Ha ha ha
Semua berubah hari ini. Yang tak berubah cuma bulan yang saya tatap tetap sama bentuk dan warnanya. Bumi yang saya pijak tetap sama juga, warna tanah tetap sama seperti dulu.














