Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

UNTUK MEREKA YANG KALAH

0 comments

Sebelum ini, seorang lelaki umur dalam lingkungan 50an saya kira, sering singgah di port busking saya, untuk mendengar muzik dan lagu-lagu yang saya mainkan. Pendekata port saya itu sering menjadi tempat singgahnya untuk melayan masalah dan kehidupannya ( yang katanya dia seorang ‘loser’ dan gagal dalam hidup ).

Sejak saya busking di KL Sentral beberapa tahun yang lalu, lelaki ini sudah pun ada di KL Sentral, mundar-mandir tanpa tujuan. Nyata dari caranya dia seorang gelandangan yang tidak punya tempat tinggal dan tempat tidurnya mungkin hanya beralaskan kotak dan tidurnya hanya di tepi bangunan tersebut.

Saban hari juga dia akan menggalas beg yang berisi pakaian, biasanya tengah hari dan malam sekitar jam 9 dia akan kelihatan di KL Sentral, mungkin untuk mandi dan seterusnya mencari tempat tidur di situ.

Saya sebenarnya rimas apabila dia muncul kerana tidak selesa dengan bau arak yang kuat dari mulutnya, tapi itu masalah dia dan kehidupannya.

Lelaki ini tidaklah mabuk cuma apabila saya menyanyi dia akan beraksi melayan perasaan kecewanya. Dan setiap pengunjung yang singgah di tempat saya habis disapanya, seolah saya ini kawan baiknya.

Sehinggalah baru-baru ini dia meluahkan masalahnya kepada saya. Saya berterus-terang memberitahunya yang bau mulutnya sangat kuat dan dia pula berbangga dengan statusnya sebagai seorang kaki minum.

Dia menjadi kaki minum sejak kematian isterinya 7 tahun yang lalu. Atau mungkin esoknya dia akan berkata isterinya telah meninggalkannya kerana tabiatnya itu. saya pun tak tahu mana satu yang betul kerana dalam keadaan khayal apa yang keluar dari mulut kita adalah luahan perasaan yang lepas tanpa akal fikir yang waras.

Katanya dia juga seorang bekas ‘Navy Commando’. Saya katakan padanya tidak ada siapa pun akan berkawan dan mempedulikannnya dalam keadaannya yang begitu.

Saya sering perhatikan setiap kali lelaki ini cuba berbual dengan kebanyakan pengunjung di KL Sentral, tidak ada siapa yang mahu melayannya. Dalam keadaannya yang tidak terurus itu, mana mungkin dia akan mendapat kawan melainkan yang sama nasib dengannya?

Apabila saya menasihatinya sekadar yang termampu, katanya tidak ada siapa berani menegurnya kerana dia seorang bekas komando. Saya kata, tidak kira samada kita ini seorang komando atau seorang menteri sekalipun jika keadaan kita yang berserabut, gagal, tidak terurus, tanpa visi, susah untuk kita meyakini sesiapa termasuk diri kita sekalipun.

Akhirnya saya menasihatinya agar cubalah mengubah cara hidupnya. Semua orang punya masalah, tidak kira orang bawah atau orang atas. Tapi hidup perlu diteruskan selagi kita hidup. Saya tidak kisah sangat dengan tabiatnya yang kaki minum itu, tapi carilah semangatnya yang telah punah dek satu trajedi sedih yang menimpa nasib dan takdirnya.

Apabila kita kecewa dengan takdir yang kita hadapi, itu maknanya kita tidak dapat menerima apa yang telah tersurat untuk kita. Itu juga akan menjadikan kita cuba lari dari masalah dengan menjadi kaki minum atau penagih. Tapi itu bukanlah jawapan, bahkan itu juga akan menjadikan kita manusia yang lebih bermasalah dan berserabut.

Adat dunia memang begitu, jika kita tidak punya apa, tidak ada siapa akan menjadi kawan kita. Hatta manusia pun enggan memandang kita. Saya agak simpati dengan nasib lelaki itu yang setiap pandangannya pada setiap mata yang lalu lalang jarang diendahkan. Dia seperti virus yang perlu dijauhi.

Sehingga ke hari ini saya masih melihat lelaki itu yang masih melayan takdirnya yang malang dan saya tidak tahu bila musim kecewanya akan berakhir. Jika dia mampu mengubah takdirnya, saya tidaklah mendapat apa untung pun tapi saya akan tumpang gembira.

Saya percaya jika masalah hidupnya dapat diselesaikan, dia tidak akan mundar-mandir lagi, atau berdiri melayan perasaan di hadapan saya atau kalau singgahpun hanya untuk mendengar se lagu dua dan kemudian akan berlalu pergi, seperti yang setiap pengunjung lain lakukan.

Dugaan akan sentiasa datang menguji kita. Dalam bentuk yang bagaimana itu terpulanglah kepada skrip takdir yang telah tertulis di atas sana. Kita perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Cerita-cerita yang tak best seperti kemalangan, kematian, kegagalan, kecelakaan atau musibah bila-bila akan datang menimpa kita walau kita sedaya upaya menafikan atau yang terbaik kalau boleh kita mahu cerita kita dari A sampailah ke Z itu akan dipenuhi dengan babak-babak yang gembira dan membahagiakan sentiasa.

Di sana sini kebanyakan yang miskin itu biasanya akan mengeluh dengan takdirnya yang miskin harta, manakala yang kaya itu kebanyakannya juga akan mengeluh dengan hartanya yang tak pernah cukup.

Untuk kita padamkan cerita sedih dan malang kita di dunia ini, kita hanya perlu memberi ruang kepada diri kita sendiri, dan jadilah pemenang dalam sandiwara pentas di dunia ini, walau siapapun kita.

Memang menang kalah itu adat, tapi jika kita sering kalah dan kalah lagi, untuk apa kita hidup di dunia ini? Kalau boleh janganlah kekalahan kita ini dijadikan modal pencerita menulis tentang kita yang katanya demi satu pengajaran pada mereka yang membaca.

Menang atau kalah pada saya bukanlah maknanya kita miskin, kita kalah…atau kita kaya, kitalah pemenang. Bukan begitu, ianya berkenaan dengan takdir hidup kita sendiri. Jika segalanya kita letakkan semua ‘hal’ di induk jiwa, kita mampu mengawal minda dan nafsu kita. Dan jika itu berjaya kita lakukan, kita adalah pemenang!

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.