Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Walau Apapun, Hidup perlu di Teruskan…

0 comments

Anak saya yang paling tua, perempuan dan umurnya 15 tahun. Semalam dia mendapat keputusan PMR nya..Keputusannya 5B dan 3C. Saya dan ibunya mengucapkan tahniah kerana bagi kami keputusan itu tetap cemerlang. Kalau anak saya itu dapat 5E pun bagi saya tetap cemerlang. Tidak ada bezanya 9A atau 9E. Tidak ada bezanya bagi saya. Saya tidak menganggap bidang akademik ini satu-satunya yang mesti kita percaya dan wajib lulus. Sebabnya di hadapan kita terbentang dunia yang maha luas untuk kita kerjakan. Yang penting bagi saya adalah apa yang kita mahu hadap dalam hidup ini. Sekolah mendidik dan programkan kita untuk menjadi lawyer, ahli akademik, engineer, doktor dan segala kerjaya yang hebat akan tetapi mungkin 5 persen yang mungkin mampu mencapai impian itu. Ianya bukan semudah yang kita impikan kerana permainannya bukan hanya sijil dan anugerah kerana yang paling penting hanya duit, connection dan kuasa yang sedang menguasai. dan yang paling nyata belanja sekolah anak-anak tetap mahal dan membebankan walau dibaginya rm 100 untuk meringankan beban itu. Dikurangkanya yang itu , dilebihkannya yang lagi satu. Jadi sama saja belanjanya.

Anak saya 4 orang bersekolah, tolak seorang OKU, kos untuk mereka tetap mencedcah ratusan ringgit juga. Dalam 1 subjek, berapa buah buku yang perlu kita beli? Mungkin ada 3 subjek atau lebih, semuanya duit dan kena beli, bukannya percuma.

Dulu waktu saya menunggu keputusan SRP tahun 1982 dulu, sehari sebelum keputusan saya tak tidur lena sebab takut gagal. Gagal adalah perkara yang tidak boleh diterima oleh kebanyakan ibu-bapa terutamanya bagi bapa saya. Syukurlah saya lulus dengan keputusan yang agak baik, jadi legalah. Kalau tak lulus tak tahulah apa akan jadi. Mungkin saya akan dirotan oleh bapa saya. Pandangan orang dulu-dulu memang begitu. Yang paling baik kerja dengan gomen contohnya kerja jadi guru, ke dua kerja polis dan ketiga askar. Kalau jadi engineer, lawyer atau doktor tu lagilah memang boleh jadi wakil rakyatlah. Ha ha ha

Tapi itu dulu, itu pandangan yang kolonial. Pemikiran lama sudah tidak relevan untuk hari ini. Hari ini bagi saya tetap kreativiti dan usaha keras serta jujur dengan apa yang kita mahu itu yang akan buat kita berjaya. Mungkin kita tidak kaya-raya tapi kalau kaya-raya kena tangkap pasal rasuah pun apa gunanya?

Jadi dalam hidup ini saya mahu anak-anak saya bergembira dengan hidup mereka. Jangan terlalu bergantung dengan keputusan akademik. Lulus atau gagal kita mesti percaya hari esok matahari akan tetap bersinar selagi kita mampu membuka mata. Dan yang paling penting walau apa dan siapapun kita, Tuhan itu sentiasa ada di sini, di jiwa kita.

Saya pinjam kata-kata seorang kawan baik yang saya kenal, Mie- Tshirt – KERJA SENDIRI LEBIH BAIK DARI MAKAN GAJI. Mata saya terbuka tentang hal ini sejak tahun 80an di kampung saya Bruas, seorang kawan yang lebih tua dari saya yang kerjanya menjual daging dan seorang lagi saudara saya yang bekerjaya sebagai seorang guru. Jadi sayapun seakan tidak yakin dengan kerjayanya. Saya bandingkanlah kerjanya dengan kerja saudara saya itu. Katanya, berapa pendapatan seorang guru itu? Cara dia bertanya walau hanya gurauan buat saya berfikir tentang kenyataannya waktu itu dia sudah punya rumah sendiri, kereta besar dan segala kemewahan cara orang kampung. Maknanya dalam umur yang muda dia sudah berjaya dan sukses. Cuma yang pentingnya kita perlulah beringat.

Jadi, walau apapun..Hidup perlu di teruskan..

Inipun saya sedang mendownload lagu-lagu yang anak perempuan saya nak. Dia suka Yokan, Mizuno Saaya, Taylor Swift dan banyak lagilah lagu-lagu baru yang saya tak pernah dengar. Ha ha ha..

* Takziah kepada anak kawan saya, Fandi( Ronasina) yang baru kematian anaknya yang OKU semalam. Dia sedang aman di syorga sana..Insyaallah..

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.